Oleh: Atika Atan
Pilihan raya kampus di beberapa buah universiti tempatan baru sahaja selesai. Namun, seperti kebiasaannya pasti akan timbul isu-isu ketidakpuasan hati beberapa pihak samada di pihak HEP universiti atau barisan calon daripada pro-M. Sepanjang berada di dalam kampus selama tiga generasi pemerintahan perdana menteri, sememangnya saya tidak pernah merasakan bahawa pilihan raya kampus dijalankan secara adil.
Sejak dari zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir yang kuku besi, Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib Razak, saya masih melihat perkembangan tersebut dari sudut dan pandangan sebagai seorang pelajar dan apa yang saya lihat adalah suara mahasiswa semakin lemah sehingga dengan mudah diperkotak-katikkan. Setelah lebih sepuluh tahun sejak kebangkitan mahasiswa pada tahun 1997/98 yang mana DS Anwar Ibrahim ditangkap saya belum nampak pihak pemerintah mahu mendengar dan mengambil kira pandangan-pandangan mahasiswa.
Apa yang berlaku di Universiti Putra Malaysia adalah salah satu daripadanya. Sebelas kerusi daripada 43 kerusi yang dipertandingkan sahaja sudah menjadi kecoh hinggakan satu Malaya mendapat perkhabarannya. Apalah sangat yang mampu dilakukan oleh wakil-wakil pro-M ini untuk mengubah dasar dan perlembagaan universiti. Selagi mana universiti ditadbir oleh TNC dan NC yang sudah mengangkat sumpah taat setia kepada pihak kerajaan, mengapa perlu takut dan bimbang untuk memperakui kemenangan mereka sehingga akhirnya tercetuslah satu insiden yang akhirnya memalukan pihak pentadbiran universiti sendiri.
Seantero Malaya tahu di mana-mana kampus di Malaysia tidak ada lagi keadilan pemilihan kepimpinan kampus yang dilaung-laungkan. Sudah terang-terangan di mana-mana universiti awam di Malaysia pasti ada dua puak yang bertanding dalam pilihan raya tersebut iaitu Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Setiap tahun kumpulan-kumpulan tersebutlah yang bertanding dan tiada istilah calon yang bebas. Pilihanraya di kampus hanyalah wayang gambar yang kononya dicanangkan sebagai praktikal demokrasi.
Suburkan sistem demokrasi di universiti
Saya tidak nampak kejadian yang berlaku di UPM hingga mengakibatkan kerosakkan harta awam sebagai sesuatu tindakkan yang perlu disokong. Namun, saya juga tidak mahu mempertanggungjawabkan apa yang terjadi hanya ke atas mahasiswa yang terlibat semata-mata. Apa yang terjadi sebenarnya perlu diambil iktibar samada di pihak pendtadbiran universiti, wakil-wakil mahasiswa pro-M atau pro-A dan sekalian mahasiswa yang ada.
Pilihan raya kampus harus dilihat sebagai platform untuk membina proses kematangan dan kedewasaan mahasiswa dan pihak universiti seharusnya bukan menyekat proses tersebut tetapi tuntun mahasiswa ini untuk mencapai matlamat yang telah digariskan. Sistem demokrasi perlu disuburkan diperingkat kampus bagi membina pengalaman mahasiswa dan untuk menangani setiap halangan dalam mencapai demokrasi yang sebenar mahasiswa perlu bertindak dengan kematangan dan ilmu bukan menurut hati dan perasaan.
Saya percaya selagi mana pihak pentadbiran universiti bersikap tidak adil ke atas mahasiswa dan ke atas sistem demokrasi di kampus, selagi itulah pastinya setiap tahun sewaktu pemilihan berlangsung akan ada isu-isu yang berbangkit. Di dalam hal ini tiada siapa yang akan untung malah merugikan. Dengan menghalang perjalanan demokrasi, maka akan terus wujud mahasiswa yang bersikap lembab dan tidak matang. Di waktu itu jangan pula dipersalahkan graduan-graduan yang ada tidak bermutu, tidak mampu membuahkan hasil pemikiran yang kreatif dan kedepan dengan hujah-hujah yang bernas jika awal-awal lagi pandangan mahasiswa yang sedikit berbeza sudah dicantas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan