PuteraKu

PuteraKu

Selasa, 8 Februari 2011

Sudahkah Aku Bersedia Menghantar Suamiku ke Medan Jihad...

Allahuakhbar...Allahuakhbar...Allahuakhbar...

Pertumpahan darah demi sebuah perjuangan menegakkan Islam dan kebenaran...
Jika boleh, jika dicungkil-cungkil isi hati ini, maka pasti semua akan tahu bahawa aku juga tidak mahu berlakunya huru-hara di bumi bertuah Malaysia ini...

Tapi sejarah mengatakan tidak akan ada kemenangan tanpa perjuangan dan di setiap perjuangan itu pasti akan ada pengorbanan. Pilihannya hanya dua...menang menegakkan Islam, atau syahid di medan pertempuran dan tiada di antara keduanya itu jalan yang lain.

Apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia, kebangkitan rakyat yang tertindas, pasti akan melihat peristiwa berdarah berulang kembali. Sejarah tidak pernah menipu...sejarah akan tetap berulang jika manusia masih tidak sedar...jika masih ada pemimpin yang menidakkan HAK ALLAH dan membiarkan ketidakAdilan itu terus berlaku.

Dan kini, aku sedar dan perlu memulakan semula momentum baru. Hari ini aku perlu belajar untuk melepaskan suamiku ke medan jihad. Peristiwa2 yang terjadi menyedarkan aku bahawa sebagai isteri yang faham akan erti perjuangan, yang telah mendapat pentarbiyahan dan kefahaman yang baik, mungkin kini aku perlu bersiap sedia untuk menghantar suamiku yang aku cintai ke medan jihad...

Abi: Ummi...abi nak pergi perhimpunan pemuda PAS untuk PRU13, boleh?
Ummi: Pergilah bi...umi dah bersedia...

InsyaAllah, selagi Allah merestui setiap langkahku...aku tidak akan gentar, malah kedua2 anak kecil yang menjadi amanahku kini sepertinya telah tertulis perjalanan hidup mereka bersama-sama dengan para pejuang Islam...InsyaAllah...Allahuakhbar...

Sedikit tulisan dari Dr Mujahid Yusof:

Saya tidak berapa perasan mulanya berlaku kebangkitan rakyat di Tunisia. Ketika saya berada di Melaka pada 15 January lalu saya bertemu dengan seorang guru lelaki dari Mesir yang mengajar di Sekolah Islam Ar Rahmah Solok Gaung. Isterinya orang Malaysia dari Terengganu.

Sebenarnya pagi itu setelah kuliah Subuh di Bukit Katil saya diajak oleh Hj Mat Diah pengasas sekolah untuk meninjau-ninjau perkembangan pembangunan sekolah sambil mempelawa sarapan pagi di rumahnya. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan sekolah Ar Rahmah kerana anak-anak saya adalah bekas penuntut di situ dari sekolah rendah lagi.

Semasa bertemu dengan lelaki Arab dari Mesir itu beliau kelihatan gembira kerana saya boleh bertutor Bahasa Arab , antara respon awal pertemuan tersebut ialah dia menceritakan dengan penuh semangat tentang kebangkita rakyat di Tunisia hanya kerana seorang penganggur yang berijazah telah membakar dirinya kerana kecewa dengan sistem korup pemerintahan Ben Ali di Tunis.

Katanya lagi dalam bahasa arab pekatnya, Mesir sedang menanti saat kebangkitan dalam masa beberapa hari menurut apa yang didapatinya dari jaringan Internet. Sememangnya pagi itu dalam dada akhbar terpampang berita kejatuhan Ben Ali yang bersiap sedia untuk meninggalkan Tunisia.

Selang beberapa hari berita tentang kebangkitan Mesir pula menyusul dan hari ini, kebangkitan dua negara Arab di benua Afrika Utara itu menguasai ruang pemberitaan seluruh dunia.
Tidak kurang peristiwa kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia membawa mesej berambus kepada pemimpin kuku besi lain di negara Arab sehingga isyaratnya menggetarkan pemimpin-pemimpin diktator sampai ke tulang sum-sum mereka.

DEMOKRASI UNTUK SIAPA?

Pengamatan saya kepada perkembangan negara Arab Afrika Utara bukanlah hari ini sahaja, seblum itu saya mengikutinya sejak 80an apabila usaha untuk membawa demokrasi bermula di Algeria dan Tunisia. Malangnya usaha mengadakan pilihanraya bebas peringkat perbandaran dan parlimen bukan membuka demokrasi tetapi menjadi alasan untuk menutup pintu kebebasan.

Alasannya cukup tidak munasabah, iaitu kerana FIS (Front Islamic Salvation) dan Parti An Nahdah (Awakening Party) menang besar dalam pilihanraya tersebut!

Sepatutnya kemenangan secara demokratik yang belum pernah dirasai sebelum ini diraikan dengan bunga dan tarian kemenangan, namun pada ketika itu kemenangan disambut dengan kereta kebal dan muncung M16 dihalakan kepada pemenangnya. Rakyat menjadi keliru, apakah ini yang mereka mahu ataukah kekal dalam keadaan tiada kebebasan.

Algeria dan Tunisia menjadi huru-hara. demokrasi dirompak semula oleh bandit penguasa demi ‘memelihara keamanan.’ Hasilnya amatlah memilukan kepada siapa sahaja yang rindukan kebebasan kerana pertumpahan darah berlaku sebagai reaksi pencabulan demokrasi dan pemimpin besar seperti Dr Abbas Madani, Dr Mahfuz Nahnah dipenjara manakala di Tunisia Dr Rashid Al Ghanoushi di buang negeri dan menjadi pelarian selama 22 tahun di UK.

Apakah semua ini harga kebebasan? Barat menjadi bisu dengan kemenangan puak Islam secara demokratik malah Perancis yang menjadi kiblat Tunisia dan Aljeria membiarkan bandit-bandit pemerintah menyiksa rakyat yang mahukan kebebasan. Akhirnya keganasan puak menjadi norma kehidupan dan puak Islam selagi lagi disalahkan. Memang sukar untuk Gerakan Islam bergerak dalam permainan Barat, kerana akan berada dalam dilema.

Apabila menyertai demokrasi dan menang Gerakan Islam akan dinafikan haknya kerana bimbang negara akan jadi huru-hara. Apabila tiada demokrasi, penindasan diteruskan kononnya untuk menghapuskan teroris dan radikal yang menggugat keselamatan negara!

Mesir sudah lama menderita kerana undang-undang darurat dilaksanakan sejak 1967. Undang-undang kejam itu berterusan hingga kini di atas alasan memerangi keganasan . Apa yang berlaku ialah memerangi Gerakan Islam yang mahukan sedikit ruang untuk bernafas dan Gerakan Sivil yang mahukan suara mereka diiktirafi. Perjalanan sukar demokrasi di negara Arab membingungkan dunia sehingga kita tidak dapat elak untuk bertanya demokrasi untuk siapa sebenarnya?

AZAM RAKYAT

Azam tidak dapat dijual beli dengan harta dan wang ringgit, ia juga tidak dapat dilemahkan dengan kezaliman diktator, apatah lagi azam itu digabungkan dengan kuasa rakyat. Formula Azam+Rakyat melahirkan satu dentuman yang kuat kepada diktator sehingga melutut ia tanda kalah dalam kehinaan. Apa yang disaksikan di Tunisia dan Mesir adalah kebangkitan rakyat berbentuk azam yang tidak dapat dihalang lagi.

Al Jazeera mensifatkannya sebagai tembok ketakutan yang telah diruntuhkan! Seorang yang menyaksikan hari kebangkitan di Mesir mensifatkan “buat pertama kali dalam sejarah, bilangan kami (rakyat) melebihi bilangan polis rusuhan dan mereka tidak dapat menghalang kami lagi”

Pada 25 Jan 2011 Dataran Kebebasan atau Tahrir Square menjadi tumpuan di mana beribu-ribu rakyat Mesir turun untuk berkumpul sehingga 26 Jan dan seterusnya Tahrir menampung perhimpunan hampir sejuta umat bagi menyampaikan satu mesej “Berambus Mubarak” “Cukuplah 30 tahun”.

Azam mereka tinggi sehingga mereka berjanji tidak akan berganjak selagi Mubarak tidak undur. Perhimpunan itu member tekanan kepada Mubarak lalu beliau cuba mengambil tindakan-tindakan yang diharapkan dapat menenangkan rakyat namun malang bagi Mubarak setiap rancangannya tidak memberi kesan kepada rakyat untuk meneruskan protes.

Walaupun Mubarak memberi janji untuk tidak bertanding lagi jawatan Presiden dan berjanji untuk letak jawatan pada bulan September, seorang wanita mengatakan “kami telah memberikannya 30 tahun dan sekarang dia ada hati meminta kami lagi 6 bulan!” Pengumuman Mubarak disambut dengan cacian dan cemuhan oleh rakyat yang berhimpun di Tahrir Square. Azam mereka umpama gunung berapi yang tidak henti-hentii memuntahkan laharnya.


KEBANGKITAN NASIONAL


Kalau dahulu yang berkumpul hanya di sekitar beratus orang sahaja kali ini perkumpulan tidak lebih dari puluhan ribu manusia. Kalau dahulu perhimpunan hanya melibatkan kumpulan tertentu yang mendesak sesuatu, seperti perhimpunan Ikhwan, tetapi kini semua jenis manusia berkumpul tanpa mengira usia tua atau muda, kumpulan politik atau orang biasa, lelaki dan wanita.

Perhimpunan berbagai bentuk latarbelakang ini menghimpun berbagai spektrum pemikiran dari gerakan sivil, gerakan Islam dan golongan liberal. Kali ini ia bukan kebangkitan Ikhwanul Muslimin seperti lazimnya malah rakyat yang berhimpun menafikan Ikhwan yang menjadi dalang utamanya, mereka mengatakan ini adalah Kebangkitan Semua, Kami Cintakan Mesir, Kami Benci Pengkhianat.

Lazimnya kedengaran dalam perhimpunan Gerakan Islam memprotes dengan slogan “Hidup Islam”, “Hancur Taghut” atau mereka melaungkan “Daulah,Daulah Islamiyah!” Tapi seruan itu tidak kedengaran malah bendera dan panji Ikhwan juga tidak kelihatan. Aura suasana ialah kebangkitan nasional di mana bendera Mesir diarak dan dikibarkan, slogan “hidup Mesir” “kami mempertahankan maruah Mesir” seolah-olah menenggelamkan selama ini slogan Islam yang menguasai jalanraya di kota Kaherah dan kota-kota besar yang lain di Mesir.

Apa maknanya semua ini? Para penganalisis menyebutnya sebagai ‘unprecented in the history of modern Egypt’. Mereka menamakannya sebagai Kebangkitan Rakyat bersifat Nasional yang bosan dengan kengkangan dan kawalan ketat kepada naluri kebebasan rakyat Mesir.

KEBANGKITAN PRO DEMOKRASI

Kedengaran dalam semua komentar istilah pro-demokrasi malah kebangkitan kedua hari ini 8hb Jan digelar sebagai perhimpunan pro- demokrasi. Istilah-istilah ini ada implikasinya bahawa ia kebangkitan kebebasan dari pengawalan ketat media, kebebasan bersuara, pilihanraya yang penuh penipuan dan keganasan polis. Perasaan dan naluri mempertahankan maruah diri dan kemuliaan negara bercampuraduk dalam semangat kebangkitan menentang pemimpin yang dilihat sebagai kuku besi dan pentingkan diri dan kroninya.

Kebangkitan ini umpama kebangkitan rakyat ketika jatuhnya regim komunis di Eropah Timur yang tertindas dalam negara polis dan cengkaman pemimpin. Malah kezaliman selama 30 tahun pemerintahan Mubarak menjemput semua golongan termasuk Liberal Sekular, Golongan Kiri dan Golongan Nassariyin. Semuanya menamakan diri mereka pro demokrasi dengan satu matlamat untuk menggulingkan Mubarak.

Malah ada teori yang mengatakan golongan Islamis dari Ikhwan lambat bertindak apabila seruan 25 Jan dihebahkan melalui jaringan sosial, Ikhwan tidak respons tetapi setelah beberapa hari golongan pro demokrasi berjaya mengumpulkan orang ramai, barulah Ikhwan menguasai keadaan.

Walaupun demikian tidak dapat dielakkan tanggapan bahawa sememangnya Ikhwan sudah sekian lama menentang kezaliman regim dan tidak pelik ia mendapat kejutan bahawa perjuangannya turut disertai oleh penentang senyap selama ini dari arus pemikiran yang lain.

SUASANA ALIRAN PEMIKIRAN MESIR


Uniknya Mesir ialah ia mempunyai populasi yang besar sebanyak 79 juta penduduk dan menyumbang kepada tenaga intelektual dan buruh kasar di kebanyakkan negara kaya Arab di Teluk.

Ia sebuah negara moden walaupun Al Azhar merupakan Universiti Islam tertua dunia. Mesir juga adalah pusat intelektual dalam dunia Arab kerana sikap keterbukaannya menerima pandangan-pandangan dari berbagai aliran walaupun tertutup dari sudut aktiviti politiknya.

Mesir juga terkenal sikap sekularnya yang pekat dan terang-terang menyebut bahawa agama dan negara tidak boleh bercampur aduk. Pertembungan pemikiran juga hebat belaku di Mesir sejak awal kurun ke 20 lagi. Pandangan Sheikh Mohammad Abduh dan anak muridnya Syeikh Rashid Redha mendapat tempat yang tinggi dalam kajian pemikiran politik Islam modern.
Begitu juga pandangan yang dianggap sesat oleh fatwa Azhar oleh Syeikh Ali Abdul Razziq yang mengatakan tiada pemerintahan dalam Islam.

Pandangan Liberal Barat Dr. Taha Husin yang kagum dengan Barat menambahkan lagi rencam dan ragam aliran pemikiran di Mesir. Paling menarik ialah Mesir adalah tempat lahir Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al Banna pada tahun 1928 yang kini menpunyai pengaruh dan pengikut seluruh dunia.

Kalau di sini kita berdebat tentang Islam Liberal dan Islam Fundamental, mahupun polemik Terrorism, maka sumber inteleknya dalam kita berhujah datang dari pemuka-pemuka yang disebut di atas dari Mesir. Begitulah hebatnya sumbangan aliran pemikiran yang berpunca dari Mesir.

Walaupun selama ini golongan Sekular Liberal dianggap pro Mubarak dan regim kerana bersetuju dengan sikap Liberal agama yang diamalkan oleh Kerajaan Mesir. Apatah lagi regim Mesir sejak Gamal Abdul Nasir senantiasa menjadikan golongan Islamis dari Ikhwan sebagai alasan mengancam keselamatan nasional. Pertembungan selama ini adalah antara puak Islam dan regim sedangkan golongan lain tidak berani memilih sokongan dan mengambil sikap berdiam diri.

Mode pertembungan yang dibentuk selama ini kini telah berubah apabila golongan selain Islamis kini telah membuat pilihan untuk menentang regim Mubarak , soalnya sekarang bagaimana Ikhwan menyesuaikan dirinya dengan permainan yang berbeza kin? Apakah terkalihnya golongan selain Islamis menentang Mubarak satu keistemewaan bagi Ikhwan ataukah Ikhwan terpaksa berhadapan pula dengan golongan-golongan ini?

MENASIONALKAN GOLONGAN ISLAM

Pertembungan selama ini bukanlah sangat pertembungan pemikiran, walaupun Mubarak cuba menghidupkan sentimen bahayanya puak Islam jika menguasai negara. Tetapi lebih besar daripada itu ia tentang kezaliman, menyekat kebebasan, keganan polis, salah guna aparatus pemerintah untuk kepentingan kroni dan rasuah yang berleluasa. Semua pihak sudah muak dengan semua gejala ini sehingga mereka tidak lagi mengambil kira perbezaan pemikiran sebagai halangan, malah sanggup berganding bahu merentasi aliran pemikiran menuntut berakhirnya regim diktator ini.

Ikhwan kini berhadapan dengan bentuk baru politik, walaupun bagi sesetengah pihak mereka masih skeptikal terhadap Ikhwan untuk mengisi ruang kosong ini setelah 83 tahun berjuang di bumi Mesir tetapi tidak ada mana pihak menafikan perjuangan konsisten dan tersusun Ikhwan.

Pilihan yang ada bagi Ikhwan dan golongan Islam untuk menyertai kebangkitan ini ialah dengan menasionalkan diri mereka menjadi sebahagian daripada lanskap baru politik. Mesej kebangkitan amat jelas bahawa rakyat Mesir tidak peduli siapa yang akan mengisi ruang setelah pemergian Mubarak dan konco-konconya, yang penting mereka mahukan pembelaan dan tercapai hasrat mahukan ruang kebebasan dan demokrasi.

Ia bukan lagi soal format dan bentuk apa negara yang mahu dibentuk setelah Mubarak, Mesir akan kekal Republik cumanya isi dan intipatinya mestilah berbeza dari dulu untuk memberi makna kepada kebangkitan rakyat Mesir yang sudah masuk hari yang ke 12.

ERTI MENASIONALKAN GERAKAN ISLAM

Jambatan yang menyambong antara idealism perjuangan Gerakan Islam dan denyutan nadi kebangkitan rakyat ialah sifat nasionalistiknya yang menjadikan ia dekat di hati bangsa yang tempatnya beroperasi.

Gerakan Islam yang selama ini ditindas oleh regim di dunia Arab senantiasa melihat kerajaan dengan penuh prejudis kerana kezaliman yang berlaku ke atas mereka. Penulisan yang lahir dari penindasan ini kadangkali memisahkan Gerakan Islam dengan bangsanya.

Bukan salah Gerakan Islam kerana mereka memerlukan kekuatan idealismnya untuk bertahan dalam suasana ini, tetapi kini aturcara permainannya berubah dengan berubahnya sedikit ruang bernafas dalam demokrasi yang ada.

Apatah lagi kebangkitan tuntutan demokrasi hari ini di Mesir menuntut Gerakan Islam di sana melihat dirinya sebagai pemain utama dan bukan lagi sebagai golongan yang tertindas! Apakah kadar kepercayaan rakyat berbagai latarbelakang dan ideologi yang disandarkan kepada Gerakan Islam? Ini bukan soal Gerakan Islam mahu dirinya dibela tetapi lebih penting ialah kini dia berperanan membela untuk mewujudkan suasana keterbukaan untuk rakyat dan bangsanya.

Jikalau bertanya kepada saya kadar kepercayaan itu, jawapannya ialah karakter nasionalistiknya yang menjadi gam penambat antara idealis alamiyahnya dengan realiti kerangka bangsanya. Hanya dengan cara ini Gerakan Islam akan mendapat sokongan padu dri berbagai aliran secular mahupun liberal. Mereka mungkin berbeza pandangan tetapi ikatan nasionalistik mereka akan menjadi penambat untuk melihat isu besar yang boleh mereka garap bersama.

MUBARAK AKAN PERTAHAN

Hari-hari berikutnya di Mesir tidak akan melalui jalan mudah, apatah lagi Mubarak bersumpah untuk mati di bumi Mesir sebagai tanda pengorbanan yang dia berikan selama ini kepada negaranya. Mubarak bukan calang orang, dia menaiki tangga kekuasaan mengikut susunan kenaikan pangkat.

Nasib menyebelahinya apabila dilantik Naib Presiden kepada Anwar Sadat dan semasa pembunuhan Anwar Sadat pada tahun 1981, bintang Hosni Mubarak terus bersinar sehinggalah 30 tahun kemudian. Hari ini rakyat Mesir mengatakan cukuplah dan berambus dari sini.

Bukan mudah untuk pemimpin seperti Mubarak untuk menyerah kalah, setakat ini tentera belum menunjukkan reaksi agresif menentang penunjuk perasaan, keadaan mungkin akan berlaku sebaliknya.

Kedua , Hosni tidak akan melepaskan peluang untuk menimbulkan huru hara berskala besar dengan menjadikan Ikhwan sebagai sasarannya untuk menaikkan sentimen kemarahan rakyat dan memberi amaran bahayanya puak Islam akan mengambil alih negara.

Namun momentum rakyat minggu kedua nampaknya tidak surut dan mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan apa juga mainan dan taktik regim Mubarak yang terdesak. Walaupun Jumaat lalu Ikhwan berunding dnegan Omar Sulaiman, Naib Presiden yang ditiadakan jawatannya sejak 30 tahun yang lalu, namun ketegasan supaya syarat asas Mubarak letak jawatan dulu sebelum rundingan menyebabkan tiada apa yang baru dalam usaha perundingan terakhir ini. Tetapi apa yang menarik ialah Ikhwan yang selama ini dianggap pertubuhan haram menjadi kumpulan pertama diajak berunding oleh regim Mubarak.

KEUTAMAAN DAN HALATUJU

Apa yang lebih penting sekarang ialah menjayakan misi penunjuk perasaan iaitu menggulingkan dahulu Mubarak. Kedua, kebangkitan rakyat mesti tidak dicemari dengan perpecahan sesama golongan penentang Regim kerana kerapuhan ini memberi ruang kepada regim untuk terus menguasai keadaan. Ketiga, keseluruhan rakyat Mesir mesti diyakinkan bahawa kebangkitan ini adalah untuk mereka dan bukan kepentingan mana-mana kumpulan mahupun Ikhwan sendiri dan akhirnya satu bentuk konsensus kepada siapakah yang mewakili penentangan ini adalah penting supaya kebangkitan rakyat ini tidak tersasar dari tujuan asalnya.



Namun apa yang lebih utama ialah melakarkan halatuju pasca kejatuhan Mubarak, apa akan terjadi, bagaimanakah peta baru yang akan dilakarkan kea rah demokrasi berpilihanraya, demokrasi berparlimen, kebebasan media, pemulihan institusi kepolisian, pelan memerangi rasuah dan lebih penting ialah pembelaan terhadap kemiskinan yang menular di Mesir.

Keseimbangan antara pemulihan dan kesan jangkamasa transformasi kepada perubahan regim melibatkan kepedulian berbagai aspek antaranya keselamatan, pemulihan ekonomi, trauma kebebasan setelah dikongkong begitu lama dan peranan kepimpinan transformasi bagi memudahcarakan transisi ini. Sehingga kestabilan benar-benar muncul , Mesir mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan.

Dan sementara penganalisis dan penulis membuat andaian-andaian apa akan terjadi kepada Mesir, jangan hendaknya kita lupa negara kita Malaysia juga perlu kebangkitan rakyat kerana simpton penyakitnya lebih kurang sama sahaja, bayangkan jika beratus ribu keluar ke jalanraya melaungkan “Undur, undur, undur BN, maju, maju, maju PR” apakah agaknya reaksi regim BN?

Al-Baradi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir

Oleh:Subky Latif

AHMED Al-Barradi, bekas Pengerusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB pulang ke Mesir sebaik saja tercetus demonstrasi umum rakyat terhadap regim Presiden Hosni Mumarak.

Dia pulang untuk menyertai tunjuk perasaan bersama rakyat bagi menggulingkan diktator 30 tahun Mubarak dan sekali gus untuk memimpin Mesir selepas itu.

Albarradi adalah diplomat terkemuka, satu-satunya orang Mesir yang dikenali di dunia selepas Mubarak. Kepulangannya itu menjadikan penentangan kepada regim Mubarak tambah bertenaga.

Kebangkitan rakyat itu sudah dikira satu revolusi oleh masyarakat dunia, tercetus tanpa pemimpin, tidak didorong oleh mana-mana parti politik, tetapi oleh kesedaran rakyat umum yang mendapat semangat dari kejayaan rakyat Tunisia mengenyahkan presidennya.

Kepulangan Albarradi menjadikannya pemimpin kepada kebangkitan rakyat itu. Masyarakat dunia yang ingin melihat Mesir berubah memang mengharapkan untuk memimpin rakyat. Bahkan dia telah merancang untuk balik menentang Hosni Mubarak dalam pilihan raya Presiden nanti.

Amerika dan barat memang mencari orang bagi menggantikan Mubarak baik dia digulingkan atau mati mengejut. Tidak ada yang terkenal selain dari Albarradi tetapi tidak dapat dipastikan dia dapat jadi seperti Mubarak yang menjadi hamba kepada Amerika dan Israel.

Albarradi memang sudah berpolitik. Kalaupun dia tidak jadi budak suruhan Washington, tetapi dia lebih baik dari Mesir jatuh ke tangan penyokong Ikhwanul Muslimun, parti pembangkang yang sangat berpengaruh di kalangan akar umbi Mesir.

Justeru itu namanya sudah ditonjolkan sebagai pencabar utama Mubarak. Kepulangannya dikehendaki oleh banyak pihak. Jika Mubarak tidak dapat dipertahankan, harapan semua adalah kepadanya. Dia saja yang boleh menyaingi pengaruh Ikhwanul Muslimun.

Sebaik dia pulang Ikhwanul Muslimun menggesa di tengah kebangkitan rakyat itu agar semua pembangkang bersatu bagi menghadapi sisa-sisa kekuatan Mubarak bagi membina Mesir baru. Ikhwan nampak risiko jika ia tampil sebagai pencabar utama Mubarak. Pengalaman FIS, pimpinan Abbasi Madani yang memenangi pilihan raya Algeria hampir 20 tahun lalu akan berulang di Mesir jika Ikhwan di depan. Ia akan dikhianati oleh barat dengan memperalatkan talibarat oporcunis sekular Mesir bagi mematahkan kemenangannya.

Ikhwan lalu mengambil strategi menjadikan Albarradi sebagai pemimpin revolusi bagi menggantikan regim Mubarak sekarang. Dia minta Hosni berundur sekarang juga, memberi peluang kepadanya menjadi pemimpin sementara, bekerjasama dengan tentera bagi memulihkan ketenteraman awam dan membuat persiapan mengadakan pilihan raya Parlimen dan pemilihan Presiden baru.

Penentang regim Mubarak sudah ada tokoh bagi menjadi pemimpin yang dipercayai mendapat sokongan rakyat, tetapi Mubarak belum ada tokoh yang boleh menjadi penggantinya. Sekalipun Mubarak sudah melantik Naib Presiden, yang pertama sejak jadi Presiden 30 tahun dulu, Umar Sulaiman seorang ketua agensi perisik Mesir, tetapi dia belum ada hubungan dengan masyarakat umum.

Ketua perisik sekalipun terkenal di kalangan pembesar rantau itu, tetapi Mesir yang sejak tahun 1951 dipimpin oleh tentera memerlukan pimpinan dari kalangan awam dan jarang ada negara di dunia mengambil ketua perisik bagi menjadi pemimpin negara kecuali dalam keadaan darurat.

Albarradi adalah tokoh awam yang boleh diketengahkan. Dunia demokrasi umumnya wajar dipimpin oleh orang awam, bukan tentera dan pegawai perisik. Yang mengganggu barat untuk menerima Albarradi sekarang, bukan tentang keupayaannya untuk menjadi pemimpin awam yang baik, tetapi yang mengangkatnya menjadi ketua ialah Ikhwanul Muslimun.

Amerika berjaya menghalang pengaruh Ikhwan menguasai Mesar sejak tahun 1951, dan bimbang pengaruhnya berperanan di bawah pimpinan Albarradi kerana di belakang Albarradi sekarang ada Ikhwan.

Amerika juga menjuarai penentangan terhadap komunis. Ia berjaya meruntuhkan empayar komunis dan melumpuhkan pengaruh komunis di mana-mana. Ia membantu tentera Arab memerangi pengaruh Ikhwanul Muslimin di benua Arab tetapi ia tidak dapat mematikan pengaruh Islam itu di Mesir.

Sejak zaman Gamal Abdul Nasser dan era Anwar Sadat serta disambung oleh regim Mubarak selama enam puluh tahun terus menerus memerangi Ikhwanul Muslimin dengan segala macam kezaliman tetapi ia terus subur di tengah rakyat Mesir.

Bagi menangani saki baki pengaruh regim Mubarak Albarradi memerlukan kerjasama dan sokongan Ikhwan yang diasaskan oleh Almarhum Imam Hassan al-Banna.

Revolusi Kebangkitan Rakyat di MESIR

Oleh: Suhaimi Mokhtar

Amerika Syarikat (AS) dan kuasa barat yang mendukungi kuasa regim zionis Yahudi kini bakal kehilangan satu lagi negara sahabat, rakan yang menjadi benteng, pelindung yang diperkakaskan oleh negara-negara yang bersekongkol ini untuk mencaturi agenda besar mereka di rantau Timur Tengah.

Selama 30 tahun negara-negara kuasa yang melindungi regim zionis ini memperalatkan dan memperkudakan Mesir, negara milik umat islam untuk menjadi pelindung kepada survavil regim zionis yang sentiasa kepingin untuk terus berada dalam zon selesa bagi mengatur agenda besar dirantau itu yang dikelilingi oleh negara-negara milik umat islam. Sebagai negara sahabat AS, Mesir dibayar dolar AS 1. 5 billion setiap tahun berupa bantuan melengkapkan ketenteraan dan peralatan tentera dan lain-lain. Regim zionis diberi bentuk bantuan sama berpuluh kali ganda lebih besar.

Dengan perjanjian damai Kem David dan Oslo, regim zionis menemui keamanan yang dicarinya dengan negara-negara Mesir dan Jordan dengan negara-negara barisan hadapan ini mengiktiraf kewujudan regim zionis.

Mesir, Jordan dan Syria merupakan negara barisan hadapan yang berperang dengan regim zionis beberapa kali. Dalam perang 1967 negara-negara Arab kalah teruk dengan beberapa wilayah bumi negara-negara ini ditawan regim zionis dan dalam perang 1973 Mesir berjaya membebaskan sebahagian dari Sinai dan mengistiharkan kemenangan dalam perang itu.

Perjanjian damai telah membolehkan regim zionis menumpukan perhatian kepada pembangunan ketenteraannya hingga menjadi kuasa tentera paling kuat di rantau Timur Tengah sehingga menjadi kuasa nukleur di samping pembinaan penempatan baru di wilayah-wilayah Arab yang mereka rampas dalam perang 1967.

Keamanan dengan Mesir dan Jordan membolehkan regim zionis bertindak ganas terhadap rakyat Palestin seperti dalam perang Gaza dan serangan terhadap Lubnan dan pembunuhan beramai-ramai di kem Sabra dan Shatila di Lubnan.

Negara-negara Arab telah diamankan kesemuanya. Elemen-eleman ini turut berperanan dalam kebangkitan revolusi rakyat di Mesir bermula pada 25 Januari lalu, sebelas hari selepas kejatuhan Ben Ali di Tunisia pada 14 Januari. Selain faktor-faktor ini, faktor-faktor ekonomi, kebebasan bersuara, kezaliman, penindasan dan lain-lain turut memainkan peranan yang mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat ini yang kini masuk minggu kedua.

Kebangkitan ini memuncak pada hari Jumaat lalu selepas solat Jumaat dan ia tiba kekemuncaknya pada hari selasa apabila lebih sejuta rakyat keluar mendesak Mubarak meletakkan jawatan dengan segera. Mubarak telah menubuhkan kabinet baru dengan melantik Naib Presiden Omar Sulaiman, rakan kepercayaannya yang sebelumnya mengetuai apparatus perisikan Mesir. Selama 30 tahun Mubarak tidak melantik Naib Presiden dan memerintah secara kuku besi.

Mubarak tampil dua kali membuat ucapan ke seluruh negara melalui TV milik regim dengan membuat konsesi politik untuk berundur pada bulan Septembar, tarikh penggal keprisedenannya berakhir, tetapi konsesi itu dengan pelbagai janji reformasi politik dan ekonomi termasuk dailoq dengan kumpulan pembangkang, tidak dapat meredakan demonstarasi di Dataran Tahrir dan diseluruh Mesir termasuk di Iskandariah, Suez dan lain-lain bandar Mesir. Ia sudah terlalu lewat setelah 30 tahun.

Hari-hari Mubarak sudah berakhir walaupun pemimpin itu belum mahu meletakkan jawatan sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat yang menuntutnya berbuat demikian dan selagi tidak ada perletakan jawatan, maka selagi itu demonstrasi diteruskan. Mubarak tiada pilihan lain walaupun untuk mengekalkan status quo.

Presiden AS Obama dan para pemimpin barat kelihatan begitu berhati-hati dalam menanggani kebangkitan revolusi rakyat ini. Ini dapat dilihat dari kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kuasa-kuasa AS dan barat ini.

AS dan barat dalam keadaan dilemma kerana Mubarak adalah sahabat, rakan yang bersekongkol dengan kuasa mereka untuk membentengi kebangkitan islam yang memasuki babak baru yang sangat membimbangkan AS, barat dan kuasa regim zionis.

Mesir tanpa Mubarak, Tunisia tanpa Ben Ali dan negara-negara Arab lain yang satu demi satu akan didatangi dengan kebangkitan rakyat tidak lagi mampu menjadi benteng mengekalkan keamanan regim zionis dan rantau Timur Tengah. Tanpa pemimpin-pemimpin ini Timur Tengah akan menempuh era baru yang sangat dibimbangi dan ditakuti oleh kuasa AS, barat dan regim haram zionis.

Senario politik diTimur Tengah akan berubah mendadak dengan lanskap baru apabila rakyat mencari pimpinan baru dikalangan tokoh-tokoh pergerakan islam untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemimpin diktator ini. Rachid Ghanuchi telah kembali ke Tunis dari buangan dengan mendapat sambutan luarbiasa dari rakyat.

Pada ketika Mubarak menghadapi hari-hari akhirnya walaupun dia berikrar tidak akan meninggalkan Mesir kerana mahu mati di Mesir, nama pergerakan Ikhwan Muslimun disebut-sebut bakal menyertai pilihanraya apabila berlaku proses pembaharuan politik di Mesir. Dibawah pemerintahan Mubarak, Ikhwan diharamkan dan para pemimpin Ikhwan dipenjarakan.

Sejak rampasan kuasa tentera oleh Gamal Abdul Nasir pada 1952, yang mejatuhkan Raja Farouk ramai tokoh-tokoh Ikhwan dipenjarakan dan ramai juga yang syahid seperti Al-Syahid Syed Qutb, Al-Syahid Hassan Al-Bana, pengerak dan pengasas Ikhwan.

Kejatuhan regim-regim diktator ini akan membolehkan pergerakan islam melalui proses pilihanraya muncul berkuasa jika berlaku pilihanraya adil. Kemungkinan besar pergerakan islam mencapai kemenangan bukanlah sesuatu yang mustahil seperti yang berlaku di Palestin, apabila Hamas memenangi pilihanraya 2006.

AS, kuasa barat dan regim zionis cukup takut kepada kemungkinan ini apabila Mesir tidak betah lagi menjadi benteng regim zionis dan menjadi alat negara-negara kuasa ini.

Selepas revolusi rakyat di Tunisia yang menyaksikan tumbangnya regim diktator Zine-El Abidine atau dikenali dengan panggilan Ben Ali pada 14 Januari lalu, kini regim Hosni Mubarak yang memerintah Mesir dengan decree, kekerasan, kezaliman selama 30 tahun, melalui apparatus pasukan polis yang dikendalikan melalui kementerian dalam negeri sedang berada diambang kejatuhannya. Para penganalisis politik AS dan barat bimbang Teori domino akan berlaku diTimur Tengah apabila rakyat bangkit berdemonstrasi. Regim-regim dirantau itu kini sedang sibuk membuat beberapa pembaharuan politik dengan harapan ia akan membendung kebangkitan islam dinegara mereka.

Jordan telah menukar pimpinan kerajaan bagi menanggani keadaan kerana Amman juga sedang menghadapi kebangkitan rakyat.

Rakyat Mesir yang berdemonstrasi di Dataran Tahrir dalam jumlah lebih satu juta sudah tidak gentar lagi dengan pasukan keselamatan regim Mubarak. Selama 30 tahun rakyat Mesir hidup dalam ketakutan yang menyelubungi kehidupan mereka. Lebih separuh rakyat Mesir dari jumlah 85 juta orang hidup dalam kemiskinan tegar dengan pendapatan kira-kira dua dollor sehari.

Kekayaan dibulut oleh segelintir mereka yang berkuasa dengan yang kaya menambahkan kekayaan mereka dan yang miskin terus menderita. Anak-anak muda yang berpendidikan dan terpelajar dinafikan pekerjaan menyebabkan kadar pengganguran yang tinggi. Regim Mubarak tidak dapat menyediakan pekerjaan kepada mereka.

Kesemua tolak ansur yang diketengahkan oleh Mubarak ditolak. Mereka mahukan Mubarak berundur segera sebelum bulan september. AS dan barat akan memainkan peranan untuk cuba menafikan kepimpinan ikhwan mengambil alih kekosongan melalui pilihanraya nanti.

Aku juga Pencinta Keamanan.

Salam...

Ummi benar-benar terkesan dengan apa yang terjadi di Mesir dan Tunisia dan ummi berpendapat bahawa semua manusia keseluruhannya terutamanya rakyat Malaysia pasti mempunyai perasaan yang sama.

Siapa yang mahu duduk dalam negara yang bergolak? Siapa yang suka dengan peperangan dan kekecohan?

Tiada siapa yang mahu dan termasuklah ummi sendiri. Tapi itulah hukum kehidupan atau sunnatullah. Apabila penindasan dan ketidakAdilan itu semakin bermaharajalela, pasti akan ada yang bangkit dan orang-orang yang bangkit itulah sentiasa dilebalkan sebagai pengganas atau orang yang suka mencetuskan huru-hara.

Namun, adilkah kita melebalkan orang-orang yang merusuh itu sebegitu rupa? Pernah kita selami jiwa mereka? Rupa-rupanya kita hanya pandai membuat persepsi tetapi tidak peka dan tidak selidiki permasalahan mereka.

Ada sahabat-sahabat yang bila mana ummi share artikel tentang perkembangan di Mesir memberikan respon, "Tidak suka dengan keadaan begini".

Ya, siapa yang suka? Ummi juga tidak suka. Sudah tentu fitrah seorang manusia itu sukakan keamanan. Jika ditanya kanak-kanak kecil, mereka juga mengatakan begitu.

Tetapi itu jugalah yang akan terjadi seandainya keadaan di Malaysia tidak diubah. Semakin hari semakin ramai yang tertindas. Tekanan hidup, tekanan ekonomi dan jurang kekayaan yang semakin melebar (yang miskin semakin miskin, dan yang kaya semakin kaya) hanya mewujudkan rasa ketengangan.

Dan INGAT...di Malaysia akan wujud kekecohan yang lebih dasyat seandainya kita masih lagi membiarkan pemerintah yang ada sekarang bertakhta. Kerana, sentimen perkauman akan mendominasi kekecohan tersebut.

Mungkin kita akan jadi seperti di Ambon atau lebih teruk dari itu. Ini bukanlah satu ugutan, tetapi ummi dapat merasakan keamanan yang kita kecapi sekarang akan semakin berkocak seandainya pemerintahan seperti sekarang tetap diteruskan. Bukan mudah untuk menyatukan rakyat yang berbilang bangsa. Di Mesir bangsa mereka satu mungkin hanya terdapat puak-puak tertentu dalam bangsa Arab namun majoritinya mereka satu bangsa dan agama.

Tetapi situasi di Malaysia tidak begitu. M'sia punya rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan yang juga berbeza-beza. Selagi Malaysia membenarkan sesetengah golongan melaungkan Ketuanan Melayu, maka selagi itulah sentimen dan ketidaksenangan kaum lain akan wujud.

Jika sayangkan diri kita, anak2 kita dan Malaysia, maka buatlah perubahan. Jangan kita bersikap pentingkan periuk nasi sendiri seperti sesetengah golongan mengatakan,
'Alhamdulillah, cukuplah aku dapat makan, beribadah, hidup tak diganggu, orang lain tu mereka punya hal. Orang miskin, mereka susah sebab mereka malas....'

Hati-hati ye bila bercakap macam tu...sebab bilamana ada golongan yang tertindas, maka bila mereka bangkit, kita semua akan merasakan 'NIKMATNYA'.

Sedikit petikkan artikel yang di ambil dari Malaysiakini.


Ya, saya seorang pencinta keamanan dan kebenaran. Bahkan saya mencintakan kebenaran lebih daripada diri saya sendiri.

Saya sendiri cemburu kepada Mohamed Bouazizi, 26, kerana dia telah berjaya menjadi asbab kepada kebangkitan rakyat Tunisia, bahkan setin petrol yang dibelanjakan itu menjadikan dia asbab kepada kebangkitan jutaan rakyat Timur Tengah yang sudah tidak mampu menanggung marah ke atas pemerintahan zalim kerajaan masing-masing.

Mesir, terkenal dengan kerajaannya yang kuku besi, pengkhianat, dan menindas golongan yang ingin menyebarkan dan menegakkan Islam. Hosni Mubarak bersekongkol dengan Israel menutup sempadan Rafah yang sebelum ini menjadi "talian hayat" penduduk Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Yahudi dan sekutu.

Menangkap dan membunuh Ulama' sudah tidak perlu diceritakan lagi, di tangan merekalah gugurnya Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Sayyid Qutub dan ramai lagi pejuang Ikhwanul Muslimin yang sentiasa vokal, sehingga ke hari ini, menyatakan kebenaran dan menegakkan keadilan.

Tunisia, kerajaan yang zalim, penindas dan boros. Keluarga Ben Ali hidup dengan mewah membelanjakan harta rakyat. Sudahlah mereka hidup bersenang-lenang dalam kemewahan, tanggungjawab mentadbir dan menguruskan negara dipandang enteng dan langsung tidak mempedulikan kehendak dan perasaan rakyat.

Begitu juga dengan Negara Timur Tengah lainnya, begitu zalim dan menindas. Negara mereka kaya raya, namun ekonomi tidak stabil bahkan rakyat hidup merana dan melarat. Sudahlah dibiarkan hidup miskin, malah perhatian dan hak mereka diabaikan.

Bukan sehari dua mereka hidup dalam keadaan tertekan dan tertindas begitu, bahkan puluhan tahun mereka dihimpit kemiskinan. Sesiapa sahaja yang bertindak menentang kerajaan akan dipenjarakan dan dikenakan hukuman yang berat. Mereka ditahan tanpa bicara, dan dihukum juga tanpa bicara.

Siapa Mohammad Bouazizi?

Tentu ramai yang ingin mengenali siapakah Mohammad Bouazizi yang begitu dicemburui pejuang keadilan dan kebenaran.

Tunisia, seperti negara yang sedang bergejolak lainnya, merupakan negara yang rakyatnya dihimpit masalah kemiskinan. Peluang pekerjaan yang terhad memaksa rakyatnya untuk hidup berdikari berniaga demi mencari sesuap nasi.

Bouazizi hidup susah sejak dari kecil, beliau menyara kehidupannya dan keluarga dengan menjual buah-buahan dan sayur-sayuran di jalanan.

Suatu hari, gerainya dirampas oleh pihak berkuasa gara-gara berniaga tanpa lesen. Beliau sendiri ditampar oleh seorang pegawai penguatkuasa wanita.F Hamdi bukan sahaja menampar, malah meludah, menghancurkan alat timbang milik Bouazizi di depan matanya sendiri sambil dibantu oleh dua rakannya yang lain membelasah dan mengutuk ayahnya.

Malang yang menimpa dirinya berterusan apabila rayuan dan suaranya tidak diendahkan oleh pihak Gabenor kawasan Sidi Bouzid.

Kecewa dan hilang arah tujuan kerana tidak lagi berdaya membantu keluarga, mesej beliau yang terakhir di Facebook:

"Saya pergi, ibu. Maafkan saya. Mencela dan menyalahkan takkan membantu. Saya tersesat dan itu dari di luar kawalan saya. Maafkan saya jika saya tidak melakukan seperti yang ibu minta saya dan ingkar kepada ibu.

“Salahkan zaman di mana kita hidup, jangan salahkan saya.Saya sekarang pergi dan tidak akan datang kembali. Perhatikan saya tidak menangis dan tidak ada air mata jatuh dari mata saya.

“Tidak ada ruang lagi untuk mencela atau menyalahkan dalam zaman pengkhianatan di tanah Rakyat. Saya tidak merasa normal dan tidak dalam keadaan yang betul. Saya pergi, dan meminta yang memimpin perjalanan untuk melupakan."

17 Disember 2010, dengan setin minyak petrol beliau nekad membakar dirinya di hadapan bangunan pentadbiran Sidi Bouzid dan dikejarkan ke Hospital. Beliau bertahan sehingga 4 Januari dan menghembuskan nafasnya di Hospital di Sidi Bouzid.

Rakaman kejadian Bouazizi membakarr dirinya dan kisah bagaimana nasib yang menimpa dirinya menimbulkan kesedaran kepada puluhan ribu rakyat Tunisia.

Ibunya berkata, "Dia (Bouazizi) mati kerana mempertahankan maruahnya yang tercalar, bukan kerana desakan hidup," Memang, di Tunisia mereka yang sudah tidak berdaya dan tidak mampu menanggung dan menyara keluarga hanya layak mati

Kerajaan Ben Ali cuba mengawal keadaan dengan menurunkan harga barang selain berjanji tidak akan mempertahankan jawatan yang telah dipegangnya selama 23 tahun, namun kebangkitan rakyat sudah tidak dapat dielakkan.

Kemarahan rakyat ke atas kezaliman dan salah laku kerajaan, khususnya Ben Ali dan isterinya sudah tidak dapat dibendung. Berita kematian Bouazizi membuka mata puluhan ribu rakyat yang lain untuk bangkit menuntut pembelaan dan keadilan daripada kerajaan.

Begitulah yang terjadi di Tunisia dan kesannya merebak ke seluruh negara Timur Tengah yang rakyatnya berhadapan dengan krisis dan kepincangan urustadbir kerajaan yang korup, zalim dan menindas.

Saya pencinta ketenangan, kebenaran dan keamanan. Justeru saya juga tidak mahu perkara yang sama berlaku di Malaysia.

Kemarahan tidak dapat diredakan

Di Mesir, sejurus selepas berita kebangkitan rakyat ini tersebar luas melalui internet dan telefon, kerajaan bertindak menutup dan menyekat segala akses komunikasi ke negara itu, sebarang bentuk alat komunikasi baik telefon, radio, internet, dan sebagainya ditutup dan disekat oleh rakyat kerana bimbang rakyatnya bangkit.

Namun, dalam keadaan maklumat yang terhad itu sejuta malah lebih daripada itu, rakyat Mesir berhimpun di Tahrir menyatakan bantahan dan desakan kepada Hosni Mobarak untuk meletakkan jawatan.

Pembubaran kerajaan Mesir dan pengumuman penstrukturan semula negara sedikitpun membantu, malah tetap dan tidak berganjak sedikitpun. Walaupun berhadapan dengan ancaman bunuh oleh kerajaan Mesir yang memang sudah sedia terkenal menyembelih dan membunuh rakyatnya sesuka hati.

Kemarahan dan kebangkita rakyat ini sudah tidak dapat dielakkan dan hanya satu yang mereka inginkan, "perubahaan yang total!"

Peluang Untuk "Mengajar Amerika, Yahudi dan Sekutu".

Kebangkitan ini bukan sahaja dilihat sebagai ancaman besar kepada kerajaan tempatan malah inilah peluang terbaik untuk masyarakat dunia menjatuhkan dan menghancurkan Amerika Syarikat yang selama ini mengawal tengkuk pemimpin-pemimpin negara-negara tersebut.

Lihat sahaja Mesir, dan negara Arab lainnya, begitu bergantung kepada Amerika Syarikat sehingga harga minyak, yang mereka sebagai pengeluar utama pun, dikawal oleh Amerika Syarikat.

Mereka begitu takut kepada Amerika Syarikat sehingga menjalinkan hubungan ketenteraan kononnya untuk menghapuskan pengganas dan militan. Mesir sendiri menjalankan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat di buminya sendiri.

Natijah Kegagalan Urus Tadbir Yang Baik oleh Kerajaan

Inilah (kebangkitan) yang akan berlaku di mana-mana apabila sesebuah kerajaan mahupun pemimpin sesebuah institusi sudah hilang kawalan dan kelayakan untuk memimpin dan menguruskan rakyat serta pimpinannya.

Paling mudah, jika disebutkan di sini, berkaitan dengan urus tadbir yang baik (good governance), kerajaan atau mana-mana pemimpin perlu responsif kepada kehendak rakyat.

Responsif di sini, bermaksud kehendak dan pandangan rakyat didengari, seterusnya keputusan yang baik dilaksanakan dengan berkesan bagi mengawal dan membaik pulih keadaan. Bukan sahaja di dalam kepimpinan negara, hatta sekecil-kecil syarikat pun memerlukan kepada kaedah urus tadbir yang baik ini.

Misalnya syarikat sekecil sebuah keluarga yang dipimpin oleh suami. Tetap memerlukan kepada urustadbir yang baik. Iaitu responsif terhadap kehendak ahlinya, telus dalam membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan, mendaulatkan undang-undang atau polisi keluarga yang bersifat sejagat dan sebagainya.

Suami sebagai ketua bertanggungjawab memastikan undang-undang dan polisi keluarga ini dipatuhi dan undang-undang tertinggi mestilah undang-undang yang mampu mengawal dan menguruskan perkembangan dan kemajuan keluarga dengan baik.

Jika dilihat dari sudut kepimpinan negara, perkara yang sama juga perlu berlaku. Pemimpin kerajaan perlu menetapkan polisi-polisi tambahan dari semasa ke semasa bergantung kepada perubahan yang berlaku ke atas dunia lebih-lebih lagi keadaan semasa di dalam negara.

Turun-naik harga minyak misalnya, memang akan memberikan kesan ke atas keadaan ekonomi dunia, apalagi kerajaan Malaysia yang mengamalkan sistem kapitalis.

Negara amat bergantung kepada dolar, sedangkan dolar sudah lama rosak dan hanya bergantung kepada talian hayat negara-negara Arab, itupun semakin nipis talinya dikikis.

Rakyat Berhak Didengari

Dalam Hak Asasi Manusia, menyatakan manusia itu berhak didengari dan diberikan perhatian. Berhak didengari sama sekali tidak bermaksud kehendak mereka perlu dipatuhi.

Kita sememangnya memerlukan had dan batasan supaya tiada yang melampau dan bertindak sesuka hati. Tetapi hak untuk didengari dan diberikan perhatian yang sewajarnya ini juga perlu diuruskan dengan baik oleh pemimpin.

Memberikan penjelasan dan penerangan yang telus, mematuhi lunas undang-undang yang didokong dan disokong bersama, selain melaksanakan keputusan dengan berkesan dapat memelihara negara supaya terurus dan ditadbir dengan baik.

Tiada yang sepatutnya selamat dari dikenakan tindakan undang-undang, bahkan undang-undang mestilah daulat, dibaca dan ditakrifkan oleh mereka yang benar-benar layak, tidak bias, dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan.

Apalagi di Malaysia, kita megamalkan doktrin pengasingan kuasa, antara tiga bidang kuasa yang utama iaitu, legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Saya berharap kerajaan Malaysia faham mengenai konsep asas ini, kerana inilah yang setakat ini mampu mengekang perasaan kecewa dan tertekan yang dihadapi oleh rakyat.

Sebilangan besar rakyat Malaysia, masih memberikan kepercayaan kepada pihak penguasa walaupun ada yang ditahan tanpa bicara. Masih memberikan kepercayaan kepada pihak mahkamah walaupun terbukti Mahkamah bersikap "double standard" dalam membicarakan kes-kes tertentu sebelum ini.

Masih memberikan ruang dan kepercayaan kepada sistem dan amalan demokrasi di Malaysia, sekalipun ruang untuk bersuara ditutup sepenuhnya oleh kerajaan apabila media arus perdana dikawal sepenuhnya oleh mereka.

Harapan masih ada!

Masih, sehingga saat ini, walaupun belum pasti apa yang akan berlaku esok, saya memberikan peluang dan ruang kepada kerajaan Malaysia untuk melaksanakan perubahan dengan segera.

Mereka bukan sahaja akan digulingkan, bahkan akan dikerjakan dengan teruk oleh rakyat sedar yang semakin membuak-buak rasa marah akibat tekanan yang bertalu-talu yang dikenakan oleh kerajaan.

Semoga harapan terhadap pembelaan, keamanan, dan keadilan ini dapat kita saksikan dengan jalan yang baik. Kita selesaikan dengan cara aman, supaya kita menjaga keberkatan yang dilimpahkan oleh Tuhan ke bumi Malaysia yang bertuah ini.

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

Isnin, 7 Februari 2011

Mungkin Bila Nanti....

Salam.......

Mungkin bila nanti empunya blog ini sudah tiada...
Maka orang2 yang singgah...
Akan tahu bahawa benarlah apa yg aku cuba sampaikan..

Semoga mereka yang membaca dan menghayati apa yang aku tulis ini lebih memahami...