PuteraKu

PuteraKu

Selasa, 14 Disember 2010

Peristiwa Akhir Zaman

Daripada Ali Bin Abi Talib r.a berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w ," Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya dan tidak tinggal lagi daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya.Masjid-masjid tersergam indah tetapi ia kosong dari Hidayah.Ulama-ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit.Dari mereka berpuncanya fitnah dan kepada mereka fitnah ini akan kembali ". Hadis Riwayat Al-Baihaqi.


Manakala di dalam sebuah hadis lain pula yang diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:


"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."


Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"


Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."


Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di lautan?"


Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."


Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"


Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."


Al-Nawwas bin Sam’an, katanya:“Rasulullah saw menyebut perihal Dajal dan menyatakan: ‘...Sebenarnya Dajal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah); ... sebenarnya dia akan keluar di satu tempat antara negeri Syam (Syria) dan Iraq.


“Dia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang dia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan mewah makmur dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya susah meleset.


“Dia akan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang mengeluarkan khazanah bumi dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau subur.


“Juga menjadikan orang muda yang kuat gagah dibelah dua badannya, sepotong dicampakkan jauh daripada yang satu lagi, kemudian diseru lalu kedua-dua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum-senyum seolah-olah tidak ada sesuatu yang menimpanya.


“Demikian juga mana-mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam syurganya yang dirasai oleh orang itu sebagai neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai syurga; dan sebagainya).


“Nabi bersabda lagi: “Wahai sekalian hamba Allah, selepas kamu mengetahui demikian, maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!”


Kami bertanya: “Ya Rasulullah! berapa lama dia akan bermaharajalela di bumi?”


Baginda menjawab: “Empat puluh hari, hari yang pertama, panjangnya seperti setahun dan hari yang kedua, panjangnya seperti sebulan dan hari yang ketiga seperti seminggu, manakala hari yang lain seperti hari kamu yang biasa.”


Kami bertanya lagi: “Ya Rasulullah! jika demikian, hari yang panjangnya seperti setahun itu, misalnya cukupkah kami mengerjakan pada-Nya sembahyang untuk sehari?”


Baginda menjawab: “Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan.”


Rasulullah menerangkan lagi: “Ketika Dajal itu bermaharajalela, Allah akan menghantar turun Nabi Isa anak Mariam, lalu dia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik, maka Nabi Isa pun mengejar Dajal hingga dapat menawannya di pintu kariah yang bernama ‘Lud’ lalu membunuhnya.


Selepas itu, datanglah suatu ka-um yang Allah sudah selamatkan mereka daripada bencana Dajal menghadap Nabi Isa, lalu Nabi Isa menghapuskan kesan kedukaan dan kesedihan daripada air muka mereka dengan menyatakan: “Bahawa Dajal sudah pun dibunuh dan menggembirakan hati mereka dengan darjat kedudukan mereka dalam syurga”.


Nabi bersabda: “Bahawa ketika Nabi Isa sedang menerangkan perkara yang menggembirakan mereka, Allah mewahyukan kepada Nabi Isa dengan firman-Nya: “Bahawa Aku sudah mengeluarkan sekumpulan hamba-Ku (Yakjuj wa Makjuj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapa pun memerangi mereka.


“Oleh itu bawalah hamba-Ku yang bersama kamu berlindung di bukit Tursina. Selepas itu Allah mengeluarkan Yakjuj wa Makjuj dan mereka pun meluru turun daripada tiap-tiap tempat yang tinggi.”


“Nabi Isa dan pengikutnya pun terkepung lama di bukit itu hingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka daripada seratus dinar kepada seseorang kamu sekarang.


“Lalu Nabi Isa dan pengikutnya merayu kepada Allah supaya membinasakan musuh mereka, maka Allah menghantarkan ulat menyerang batang leher Yakjuj wa Makjuj, mereka pun mati bergelimpangan dengan serentak seperti matinya satu jiwa.


“Kemudian Nabi Isa dan pengikutnya turun dari bukit itu lalu mereka dapati tidak ada barang sejengkal pun di bumi, melainkan penuh dengan bau hapak dan busuk disebabkan bangkai Yakjuj wa Makjuj.


“Maka Nabi Isa dan pengikutnya merayu lagi kepada Allah, lalu Allah menghantar sekumpulan burung yang batang lehernya seperti unta, maka kumpulan burung itu pun mengangkut dan mencampakkan bangkai itu ke tempat yang dikehendaki Allah."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan