Pihak kerajaan Malaysia sekali lagi membuat penstrukturan subsidi bagi menampung perbelanjaan negara yang dilihat banyak membazir dan menyerahkan kos pembaziran tersebut kepada rakyat melalui pensturkturan subsidi empat barangan kawalan iaitu RON95, diesel, gas asli cecair (LPG) dan gula. Malaysiakini melaporkan bahawa melalui penstrukturan tersebut pihak kerajaan berkata, ia dapat menguruskan kedudukan fiskalnya dengan cara meningkatkan jumlah kutipan hasil dan mengurangkan perbelanjaan negara. Sebelum ini Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Ismail Sabri dalam Bernama yang bertarikh 3 November menyatakan bahawa tidak akan ada kenaikan ke atas RON95 sehingga penghujung tahun ini dilihat sebagai satu kenyataan yang menipu rakyat. Kini, genap sebulan, pihak kerajaan sekali lagi menaikkan harga barangan komoditi utama ini melalui penstrukturan kali kedua subsidi dan jika ketika harga RON97 mengalami peningkatan harga, perubahan harga minyak mentah dunia dijadikan alasan, kali ini alasannya adalah untuk mengukuhkan kedudukan fisikal negara melalui pengurangan perbelanjaan. Kenyataan ini memperlihatkan bahawa pihak kerajaan tidak serius membantu rakyat yang semakin dihimpit dengan kesempitan hidup. Subsidi yang diberikan untuk rakyat dilihat sebagai satu pembaziran yang membebankan kerajaan. Dalam keadaan di mana tiada perubahan pendapatan, bagaimana rakyat mampu menampung kos kehidupan yang semakin meningkat. Kenaikkan dua kali dalam setahun ini bukanlah satu petanda baik bagi ekonomi negara yang sedang menuju dalam proses pemulihan. Pihak kerajaan memberikan pelbagai alasan demi melindungi tindakan mereka yang dilihat banyak membuat pembaziran yang dinamakan ke atas projek-projek pembangunan. Malah pihak kerajaan juga masih memandang enteng dengan tahap pemikiran rakyat dengan memberikan alasan harga minyak di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah berbanding dengan negara-negara seperti Indonesia, Singapura dan Thailand. Perbandingan harga bagi barangan subsidi ini dengan negara-negara tersebut bukanlah alasan yang bijak malahan dilihat sebagai alasan yang bodoh kerana umum telah mengetahui bahawa Malaysia merupakan di antara negara yang mempunyai minyak sendiri dan menjadi pengeluar bagi barangan komoditi ini. Jika alasan ini mahu dilihat lebih komkrit dan relevan, pihak kerajaan seharusnya membuat perbandingan dengan negara Brunei yang merupakan di antara pengeluar minyak di Asia Tenggara selain daripada jiran yang paling dekat dengan Malaysia. Bukan itu sahaja, perbandingan tersebut seharusnya dilihat juga ke atas pendapatan per kapita rakyat Brunei dengan pendapatan per kapita rakyat Malaysia. Secara umumnya pendapatan per kapita di Malaysia masih lagi tidak mampu untuk menandingi kedudukan Brunei dan Singapura dalam ranking pendapatan per kapita mereka. Kenaikkan harga barangan bukan membantu perkembangan ekonomi di Malaysia tetapi di bimbangi akan menyebabkan jurang yang lebih besar dan tekanan ke atas penduduk bandar dan rakyat umumnya. Pertubuhan bukan kerajaan seperti FOMCA memberikan reaksi dan petunjuk bahawa peningkatan ke atas harga barangan subsidi ini akibat daripada penyelarasan boleh menyebabkan tekanan hidup di kalangan rakyat yang berpendapatan rendah. Malaysiakini melaporkan bahawa Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof Datuk Hamdan Adnan menyifatkan kenaikan harga minyak RON95 adalah tidak wajar kerana minyak merupakan nadi kepada rakyat dan pihak kerajaan sewajarnya mewujudkan satu mekanisme dalam mengawal harga minyak supaya golongan sasaran saja yang menikmati subsidi berkenaan. Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihaknya bimbang mengenai kenaikan harga semua barangan berkenaan terhadap golongan berpendapatan rendah. “Kita bimbang dengan kenaikan ini (harga barangan) akan menjejas golongan berpendapatan rendah terutamanya yang bekerja dengan kerajaan,” katanya. Secara keseluruhannya pelbagai pihak menghentam tindakan kerajaan yang tidak memperdulikan rakyat miskin dan berpendapatan rendah di negara ini.
KERAJAAN BANYAK MEMBAZIR
Di manakah rasionalisasi subsidi ini sekiranya pihak kerajaan masih lagi bersikap membazir dan tidak mengawal perbelanjaan? Slogan kerajaan untuk mendahulukan rakyat juga dilihat tidak tepat kerana banyak keputusan-keputusan yang dibuat dilihat berat sebelah dan hanya mementingkan kroni mereka. Perancangan pembinaan projek Menara Warisan Merdeka yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM 5 billion dilihat sebagai satu projek mega yang membazirkan duit rakyat. Kerajaan juga tidak teragak-agak membelanjakan jutaan ringgit bagi menubuhkan badan pemikir kerajaan iaitu Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri, yang telah dilaporkan menelan perbelanjaan RM66 juta sebelum ia beroperasi dengan sebahagian besar wang itu dibelanjakan untuk bayaran kepada perunding asing. Menurut pendedahan Malaysiakini perbelanjaan tahun lalu sebelum PEMANDU beroperasi adalah kenbanyakannya untuk membiayai “perunding luar”, termasuk firma perunding Amerika McKinsey and Co, yang mengaut RM36 juta dan kos operasi PEMANDU bagi tahun-tahun yang akan datang akan menelan perbelanjaan sehingga jutaan ringgit. Kos-kos tersebut belum lagi termasuk perbelanjaan-perbelanjaan lain yang melibatkan projek PERMATA yang diterajui oleh isteri kesayangan Najib, Rosmah Mansor.
PENDAPATAN PER KAPITA RAKYAT TIDAK MENINGKAT
Apakah dengan pengurangan subsidi ini mampu membantu memacu ekonomi Malaysia ke arah keadaan yang lebih stabil sedangkan dalam masa yang sama pendapatan per kapita rakyat tidak meningkat sepertimana yang sepatutnya berlaku seiring dengan peningkatan perbelanjaan. Pengurangan subsidi ke atas barangan komoditi utama iaitu minyak, diesel, gas LPG dan gula meningkatkan lagi kos hidup rakyat Malaysia. Umum sedia mengetahui kepentingan barangan ini dalam kehidupan masyarakat Malaysia terutama sekali minyak. Hampir 90 peratus pengguna merupakan pengguna RON95 dan peningkatan ke atas harga RON95 memberikan kesan ke atas perbelanjaan isi rumah. Pengurangan subsidi ini mungkin berjaya meningkatkan pendapatan negara tetapi membunuh rakyat miskin dan berpendapatan rendah. Kenaikkan harga RON95, diesel dan gas LPG akan menyebabkan kenaikkan berangkai harga barangan di pasaran yang akhirnya kos tersebut akan di salurkan kepada pengguna. Kita harus sedar bahawa kenaikkan harga barangan yang diperkatan sekarang adalah kenaikan harga bagi barangan asas rakyat Malaysia. Rakyat masih lagi tidak mempunyai barangan alternatif bagi mengantikan barangan tersebut dan suka atau tidak, kenaikkan harga barangan asas ini akan memberikan kesan kepada sosio ekonomi penduduk. Di manakah janji kerajaan untuk mendahulukan rakyat, sekiranya keputusan penstrukturan ini hanya memberikan keutamaan kepada pengusaha-pengusaha besar yang mempunyai kepentingan kepada kerajaan.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, sebagai pengguna kita juga harus ingat, penggunaan yang tidak dikawal hanya akan merugikan diri sendiri dan anak bangsa. Tiada apa yang akan kekal di dunia ini, waima segala benda termasuklah hasil minyak. Kita mungkin akan berhadapan dengan kehabisan sumber asli ini suatu hari nanti dan sebagai pengguna kita haruslah menggunakan segala kurniaan Allah dengan secara berhemah dan tidak membazir. Penggunaan yang berlebihan juga akan memudaratkan kesihatan seperti gula. Namun begitu, ia bukanlah alasan untuk menindas orang lain terutamanya golongan yang susah. Di manakah janji pihak kerajaan untuk mendahulukan rakyat dalam setiap agihan ekonomi sekiranya rakyat pula yang terpaksa menanggung bebannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan