PuteraKu

PuteraKu

Khamis, 22 Julai 2010

DIMANAKAH RASIONALISASI PENSTRUKTURAN SUBSIDI

Salam........

Just want to share.

Pengumuman kerajaan ke atas kenaikan lima jenis barangan utama pengguna pada minggu lepas sememangnya tidak dapat diduga oleh pengguna. Jika sebelum ini, kenaikan harga minyak dibuat berdasarkan kepada kenaikan harga minyak dunia yang meningkat, namun kali ini alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan ke atas kenaikan barangan tersebut amatlah dangkal lebih-lebih lagi apabila pengumuman kenaikan barangan tersebut yang dibuat secara senyap-senyap seolah-olah memperlihatkan bahawa pihak kerajaan takut kepada kemarahan rakyat yang sudah semakin meluap-luap sejak kebelakangan ini. Malaysiakini melalui laman sesawangnya melaporkan bahawa pihak kerajaan meminta agar berita kenaikan harga lima barangan tersebut tidak disiarkan sehingga tempoh waktu yang ditetapkan iaitu pada jam 8 malam agar berita tersebut tidak kecoh. Malah lebih buruk lagi apabila para wartawan diminta agar tidak menulis artikel berkenaan kenaikan tersebut sebagai kenaikan harga barangan tetapi sebagai penstrukturan subsidi pada tajuk berita. Malah sehingga kini, akhbar-akhbar dan media arus perdana ditegah daripada memperbincangan topic ini untuk diperbahaskan. Astro Awani melalui rancangannya Sudut Pandang yang selalunya mengetengahkan tajuk-tajuk perbincangan yang hangat seolah-olah disekat untuk mengetengahkan isu ini. Tindak tanduk tersebut sebenarnya mendatangkan pelbagai persoalan di minda pembaca dan pengguna amnya. Adakah benar, kerajaan Malaysia sudah hampir bankrap sehingga tindakan pengurangan subsidi terhadap bahan asas tersebut perlu dibuat? Dimanakah rasionalnya penstrukturan subsidi bagi mengawal pengunaan kelima-lima barangan tersebut dan adakah ia akan berjaya?
Dari sudut pandangan ekonomi, kenaikan harga sesuatu barangan akan menyebabkan penurunan ke atas permintaannya namun, dari sudut penggunaan adakah ia berjaya direalisasikan? Pihak kerajaan hanya memandang bahawa apabila harga gula dinaikkan, maka ia sekaligus dapat mengurangkan permintaan dan penggunaannya diperingkat isi rumah. Namun bagaimana pula penggunaan gula dapat dikurangkan dalam pembuatan makanan siap atau separa siap yang kebanyakkannya dihasilkan oleh industri makanan. Kita harus sedar bahawa kenaikkan harga barangan yang diperkatan sekarang adalah kenaikan harga bagi barangan asas rakyat Malaysia. Rakyat masih lagi tidak mempunyai barangan alternatif bagi mengantikan barangan tersebut dan suka atau tidak, kenaikkan harga barangan asas ini akan memberikan kesan kepada sosio ekonomi penduduk di Malaysia. Kenaikan harga gula sebanyak 25 sen sekilogram mungkin akan berjaya pada peringkat isi rumah kerana harga gula yang mahal akan dapat mengurangkan pembelian gula di kalangan isi rumah dan secara tidak langsung ia membantu kepada pengawalan ke atas pengambilan gula di dalam makanan mereka. Namun begitu, persoalan yang sarat di minda adalah bagaimana pula pengguna hendak mengawal kandungan gula yang digunakan oleh peniaga-peniaga restoran, gerai-gerai tepi jalan atau yang lebih tepat lagi pengunaan gula di peringkat pengusaha makanan. Adakah kenaikan harga gula ini akan membantu pihak peniaga mengurangkan penggunaan gula di dalam masakan mereka? Secara jujurnya, kenaikan gula tidak akan dapat membantu pengusaha makanan memupuk kesedaran dikalangan pengguna malah akan menyebabkan bebanan kos ke atas peniaga-peniaga terutamanya peniaga kecil atau IKS. Kesannya untuk jangka masa akan datang perniagaan mereka mungkin akan lingkup kerana tidak mampu menanggung bebanan kos lebih-lebih lagi apabila terpaksa berhadapan dengan persaingan.
Nasib peniaga-peniaga industry kecil dan sederhana atau IKS di negara kita mungkin akan terjejas akibat penstrukturan ini dan amat menyedihkan kerana kebanyakkan IKS dimiliki oleh pengusaha-pengusaha Bumiputra. Di manakah janji kerajaan untuk mendahulukan rakyat, sekiranya keputusan penstrukturan ini hanya memberikan keutamaan kepada pengusaha-pengusaha besar yang mempunyai kepentingan kepada kerajaan. Oleh itu, penstrukturan subsidi jelas dilihat hanya memberikan keuntungan kepada pihak peniaga dan menindas pengguna terutamanya dikalangan isi rumah yang berpendapatan kecil dan sederhana. Alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan menaikan harga gula juga dilihat sebagai satu langkah yang berat sebelah dan tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan rakyat. Seandainya alasan pihak kerajaan terhadap penstrukturan ini adalah untuk membenteras aktiviti penyeludupan , adakah ia berjaya sedangkan harga barangan komoditi tersebut masih lagi jauh lebih murah berbanding dengan negara-negara jiran lain. Penstrukturan subsidi bagi gula dan bahan api di pasaran tidak akan mampu mengurangkan aktiviti penyeludupan kerana harga gula dan bahan api (petrol dan diesel) di Malaysia masih lagi yang terendah berbanding dengan negara-negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Filipina. Ia juga tidak akan mampu menghalang rakyat dari negara jiran seperti Thailand dan Singapura untuk datang ke Malaysia mengisi minyak di tangki kereta mereka. Aktiviti penyeludupan akan tetap berlaku tanpa penguatkuasaan yang tegas dari aspek undang-undang, malah aktiviti membenteras penyeludupan juga dilihat hanya mengikut musim-musim tertentu. Penguatkuasaan di Malaysia dipandang terlalu lemah oleh penyeludup-penyeludup ini disebabkan oleh gejala rasuah yang masih lagi berleluasa dan belum berjaya di tangani secara keseluruhannya. Untuk membenteras penyeludupan ini, kita mungkin hanya akan bermimpi di siang hari seandainya penguatkuasaan di Malaysia masih lagi lemah.
Langkah yang di ambil oleh kerajaan dengan penarikkan semula subsidi juga dilihat berat sebelah. Fakta mengenai subsidi menerangkan bahawa subsidi merupakan bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan bagi memastikan harga barangan dan perkhidmatan tertentu mampu dibeli oleh rakyat yang memerlukan bantuan. Sekiranya pihak kerajaan mengatakan bahawa dengan pemberian subsidi ini, maka golongan kaya juga akan mendapat manafaat yang sama, tetapi dengan penarikkan subsidi ini juga boleh membebankan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Maka adakah adil, keputusan ini dibuat sedangkan di dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika ini, peningkatan inflasi dan peningkatan tahap hidup masyarakat hari ini yang memerlukan banyak sokongan dan bantuan terutamanya terhadap golongan yang berpendapatan kecil adakah mereka juga tidak layak untuk dibantu? Seandainya kita berfikiran secara timbang rasa, apabila keadaan ekonomi jatuh, tidak akan ada seorang pun yang tidak merasainya atau menerima kesannya kerana semua manusia perlu mengguna dan merupakan pengguna akhir. Namun, kesan yang dialami oleh setiap pengguna adalah berbeza-beza kerana keupayaan ekonomi setiap pengguna itu berbeza dan tindakan menarik balik subsidi ketika ini adalah kurang tepat dan seolah-olah tidak prihatin dengan nasib rakyat yang sememangnya sudah ditimpa kesusahan. Ketidakseimbangan dalam social masyarakat terutamanya perolehan pendapatan per kapita isi rumah di antara kawasan bandar dan luar bandar semakin ketara dan dengan kenaikan harga barang akibat daripada penstrukturan subsidi hanya akan memberikan kesan negatif untuk jangka panjang. Penstrukturan ini umpama bom berangkai yang hanya akan memburukkan lagi keadaan ekonomi isi rumah dan rakyat khususnya. Pengagihan kekayaan negara yang tidak adil dan hanya mementingkan kronisme menjadi punya mengapa barangan tertentu atau pengagihan ekonomi dilihat berat sebelah dan dimonopoli oleh orang-orang tertentu. Kerajaan seharusnya mengambil tindakkan yang lebih bijak dan bersimpati dengan nasib rakyat. Cadangan beberapa NGO pengguna untuk membuka lesen terbuka penjualan gula bagi mengelakkan monopoli hanya dipandang sepi. Selain itu, ura-ura untuk menggunakan Mykad ketika membeli minyak petrol bersubsidi bagi menggelakkan pengguna luar membeli pada harga subsidi juga akhirnya hanya satu cadangan yang sudah semakin senyap untuk diperkatakan lagi. Malah, pentrukturan ini juga tidak disertai dengan mekanisma lain untuk membantu golongan yang menerima kesan yang paling banyak di atas penstrukturan tersebut.
Kitaran ekonomi ini seperti bulatan yang saling berkait di antara satu sama lain. Hubungan di antara peniaga dan pengguna umpama aur dan tebing yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Seandainya pengguna ditekan, adakah pihak peniaga juga akan dapat merasai nikmat keuntungan dan pihak kerajaan mampu memacu kembali ekonomi Malaysia untuk berada dalam keadaan asal? Jurang yang melebar di antara golongan kaya dan miskin hanya akan memberikan kesan masalah social yang lebih buruk dan ketenangan yang dirasai hari ini mungkin akan bergolak suatu hari nanti. Apa yang sering dipersoalkan oleh rakyat jelata adalah, mengapa kerajaan mampu untuk membelanjakan jutaan ringgit bagi menampung projek-projek pembangunan dan memberikan suntikan modal kepada syarikat-syarikat besar yang mempunyai kepentingan, namun kebajikan rakyat digadaikan untuk tujuan tersebut. Malah, sejak mutakhir ini, jurang di antara si miskin dan si kaya semakin melebar dan yang ditindas semakin tertindas sudah semakin dirasai oleh rakyat.
Sememangnya tidaklah dinafikan bahawa semua barangan komoditi tersebut akan kehabisan suatu hari nanti. Malah kebanyakkan pengguna hari ini sedar bahawa barangan komoditi ini merupakan barangan yang tidak boleh diperbaharui semula. Mahu atau tidak, lambat atau cepat kenaikkan harga ke atas barangan seperti minyak dan gas pastinya tidak akan dapat dielakkan. Namun begitu, ia bukanlah alasan untuk pihak kerajaan membuat penarikkan ke atas subsidi bahan tersebut dalam keadaan pengguna belum bersedia dan mempunyai alternatif lain. Rakyat masih lagi bergelut dengan kepayahan ekonomi berikutan dengan kejatuhan ekonomi pada tahun 2008. Pihak kerajaan berulang-kali memohon agar rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka, namun adakah pihak kerjaan juga mengamalkan prinsip yang sama. Adakah penjimatan sebanyak RM750 juta ini berjaya mengurangkan defisit negara sekiranya perbelanjaan kerajaan bagi tujuan-tujuan lain masih lagi tidak dikawal. Pihak kerajaan mencanang projek jutaan ringgit yang hanya memberikan keuntungan kepada kroni-kroni mereka sedangkan rakyat sudah semakin tidak hirau akan semua itu. Apa yang difikirkan oleh rakyat hanyalah untuk bagaimana hendak meneruskan kelangsungan hidup mereka dalam keadaan kemelut ekonomi yang tidak menentu kini.
Kesimpulannya, sebagai pengguna kita juga harus ingat, penggunaan yang tidak dikawal hanya akan merugikan diri sendiri dan anak bangsa. Tiada apa yang akan kekal di dunia ini, waima segala benda termasuklah hasil minyak. Kita mungkin akan berhadapan dengan kehabisan sumber asli ini suatu hari nanti dan sebagai pengguna kita haruslah menggunakan segala kurniaan Allah dengan secara berhemah dan tidak membazir. Penggunaan yang berlebihan juga akan memudaratkan kesihatan seperti gula. Namun begitu, ia bukanlah alasan untuk menindas orang lain terutamanya golongan yang susah. Di manakah janji pihak kerajaan untuk mendahulukan rakyat dalam setiap agihan ekonomi sekiranya rakyat pula yang terpaksa menanggung bebannya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan