Salam...
Ummi benar-benar terkesan dengan apa yang terjadi di Mesir dan Tunisia dan ummi berpendapat bahawa semua manusia keseluruhannya terutamanya rakyat Malaysia pasti mempunyai perasaan yang sama.
Siapa yang mahu duduk dalam negara yang bergolak? Siapa yang suka dengan peperangan dan kekecohan?
Tiada siapa yang mahu dan termasuklah ummi sendiri. Tapi itulah hukum kehidupan atau sunnatullah. Apabila penindasan dan ketidakAdilan itu semakin bermaharajalela, pasti akan ada yang bangkit dan orang-orang yang bangkit itulah sentiasa dilebalkan sebagai pengganas atau orang yang suka mencetuskan huru-hara.
Namun, adilkah kita melebalkan orang-orang yang merusuh itu sebegitu rupa? Pernah kita selami jiwa mereka? Rupa-rupanya kita hanya pandai membuat persepsi tetapi tidak peka dan tidak selidiki permasalahan mereka.
Ada sahabat-sahabat yang bila mana ummi share artikel tentang perkembangan di Mesir memberikan respon, "Tidak suka dengan keadaan begini".
Ya, siapa yang suka? Ummi juga tidak suka. Sudah tentu fitrah seorang manusia itu sukakan keamanan. Jika ditanya kanak-kanak kecil, mereka juga mengatakan begitu.
Tetapi itu jugalah yang akan terjadi seandainya keadaan di Malaysia tidak diubah. Semakin hari semakin ramai yang tertindas. Tekanan hidup, tekanan ekonomi dan jurang kekayaan yang semakin melebar (yang miskin semakin miskin, dan yang kaya semakin kaya) hanya mewujudkan rasa ketengangan.
Dan INGAT...di Malaysia akan wujud kekecohan yang lebih dasyat seandainya kita masih lagi membiarkan pemerintah yang ada sekarang bertakhta. Kerana, sentimen perkauman akan mendominasi kekecohan tersebut.
Mungkin kita akan jadi seperti di Ambon atau lebih teruk dari itu. Ini bukanlah satu ugutan, tetapi ummi dapat merasakan keamanan yang kita kecapi sekarang akan semakin berkocak seandainya pemerintahan seperti sekarang tetap diteruskan. Bukan mudah untuk menyatukan rakyat yang berbilang bangsa. Di Mesir bangsa mereka satu mungkin hanya terdapat puak-puak tertentu dalam bangsa Arab namun majoritinya mereka satu bangsa dan agama.
Tetapi situasi di Malaysia tidak begitu. M'sia punya rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan yang juga berbeza-beza. Selagi Malaysia membenarkan sesetengah golongan melaungkan Ketuanan Melayu, maka selagi itulah sentimen dan ketidaksenangan kaum lain akan wujud.
Jika sayangkan diri kita, anak2 kita dan Malaysia, maka buatlah perubahan. Jangan kita bersikap pentingkan periuk nasi sendiri seperti sesetengah golongan mengatakan,
'Alhamdulillah, cukuplah aku dapat makan, beribadah, hidup tak diganggu, orang lain tu mereka punya hal. Orang miskin, mereka susah sebab mereka malas....'
Hati-hati ye bila bercakap macam tu...sebab bilamana ada golongan yang tertindas, maka bila mereka bangkit, kita semua akan merasakan 'NIKMATNYA'.
Sedikit petikkan artikel yang di ambil dari Malaysiakini.
Ya, saya seorang pencinta keamanan dan kebenaran. Bahkan saya mencintakan kebenaran lebih daripada diri saya sendiri.
Saya sendiri cemburu kepada Mohamed Bouazizi, 26, kerana dia telah berjaya menjadi asbab kepada kebangkitan rakyat Tunisia, bahkan setin petrol yang dibelanjakan itu menjadikan dia asbab kepada kebangkitan jutaan rakyat Timur Tengah yang sudah tidak mampu menanggung marah ke atas pemerintahan zalim kerajaan masing-masing.
Mesir, terkenal dengan kerajaannya yang kuku besi, pengkhianat, dan menindas golongan yang ingin menyebarkan dan menegakkan Islam. Hosni Mubarak bersekongkol dengan Israel menutup sempadan Rafah yang sebelum ini menjadi "talian hayat" penduduk Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Yahudi dan sekutu.
Menangkap dan membunuh Ulama' sudah tidak perlu diceritakan lagi, di tangan merekalah gugurnya Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Sayyid Qutub dan ramai lagi pejuang Ikhwanul Muslimin yang sentiasa vokal, sehingga ke hari ini, menyatakan kebenaran dan menegakkan keadilan.
Tunisia, kerajaan yang zalim, penindas dan boros. Keluarga Ben Ali hidup dengan mewah membelanjakan harta rakyat. Sudahlah mereka hidup bersenang-lenang dalam kemewahan, tanggungjawab mentadbir dan menguruskan negara dipandang enteng dan langsung tidak mempedulikan kehendak dan perasaan rakyat.
Begitu juga dengan Negara Timur Tengah lainnya, begitu zalim dan menindas. Negara mereka kaya raya, namun ekonomi tidak stabil bahkan rakyat hidup merana dan melarat. Sudahlah dibiarkan hidup miskin, malah perhatian dan hak mereka diabaikan.
Bukan sehari dua mereka hidup dalam keadaan tertekan dan tertindas begitu, bahkan puluhan tahun mereka dihimpit kemiskinan. Sesiapa sahaja yang bertindak menentang kerajaan akan dipenjarakan dan dikenakan hukuman yang berat. Mereka ditahan tanpa bicara, dan dihukum juga tanpa bicara.
Siapa Mohammad Bouazizi?
Tentu ramai yang ingin mengenali siapakah Mohammad Bouazizi yang begitu dicemburui pejuang keadilan dan kebenaran.
Tunisia, seperti negara yang sedang bergejolak lainnya, merupakan negara yang rakyatnya dihimpit masalah kemiskinan. Peluang pekerjaan yang terhad memaksa rakyatnya untuk hidup berdikari berniaga demi mencari sesuap nasi.
Bouazizi hidup susah sejak dari kecil, beliau menyara kehidupannya dan keluarga dengan menjual buah-buahan dan sayur-sayuran di jalanan.
Suatu hari, gerainya dirampas oleh pihak berkuasa gara-gara berniaga tanpa lesen. Beliau sendiri ditampar oleh seorang pegawai penguatkuasa wanita.F Hamdi bukan sahaja menampar, malah meludah, menghancurkan alat timbang milik Bouazizi di depan matanya sendiri sambil dibantu oleh dua rakannya yang lain membelasah dan mengutuk ayahnya.
Malang yang menimpa dirinya berterusan apabila rayuan dan suaranya tidak diendahkan oleh pihak Gabenor kawasan Sidi Bouzid.
Kecewa dan hilang arah tujuan kerana tidak lagi berdaya membantu keluarga, mesej beliau yang terakhir di Facebook:
"Saya pergi, ibu. Maafkan saya. Mencela dan menyalahkan takkan membantu. Saya tersesat dan itu dari di luar kawalan saya. Maafkan saya jika saya tidak melakukan seperti yang ibu minta saya dan ingkar kepada ibu.
“Salahkan zaman di mana kita hidup, jangan salahkan saya.Saya sekarang pergi dan tidak akan datang kembali. Perhatikan saya tidak menangis dan tidak ada air mata jatuh dari mata saya.
“Tidak ada ruang lagi untuk mencela atau menyalahkan dalam zaman pengkhianatan di tanah Rakyat. Saya tidak merasa normal dan tidak dalam keadaan yang betul. Saya pergi, dan meminta yang memimpin perjalanan untuk melupakan."
17 Disember 2010, dengan setin minyak petrol beliau nekad membakar dirinya di hadapan bangunan pentadbiran Sidi Bouzid dan dikejarkan ke Hospital. Beliau bertahan sehingga 4 Januari dan menghembuskan nafasnya di Hospital di Sidi Bouzid.
Rakaman kejadian Bouazizi membakarr dirinya dan kisah bagaimana nasib yang menimpa dirinya menimbulkan kesedaran kepada puluhan ribu rakyat Tunisia.
Ibunya berkata, "Dia (Bouazizi) mati kerana mempertahankan maruahnya yang tercalar, bukan kerana desakan hidup," Memang, di Tunisia mereka yang sudah tidak berdaya dan tidak mampu menanggung dan menyara keluarga hanya layak mati
Kerajaan Ben Ali cuba mengawal keadaan dengan menurunkan harga barang selain berjanji tidak akan mempertahankan jawatan yang telah dipegangnya selama 23 tahun, namun kebangkitan rakyat sudah tidak dapat dielakkan.
Kemarahan rakyat ke atas kezaliman dan salah laku kerajaan, khususnya Ben Ali dan isterinya sudah tidak dapat dibendung. Berita kematian Bouazizi membuka mata puluhan ribu rakyat yang lain untuk bangkit menuntut pembelaan dan keadilan daripada kerajaan.
Begitulah yang terjadi di Tunisia dan kesannya merebak ke seluruh negara Timur Tengah yang rakyatnya berhadapan dengan krisis dan kepincangan urustadbir kerajaan yang korup, zalim dan menindas.
Saya pencinta ketenangan, kebenaran dan keamanan. Justeru saya juga tidak mahu perkara yang sama berlaku di Malaysia.
Kemarahan tidak dapat diredakan
Di Mesir, sejurus selepas berita kebangkitan rakyat ini tersebar luas melalui internet dan telefon, kerajaan bertindak menutup dan menyekat segala akses komunikasi ke negara itu, sebarang bentuk alat komunikasi baik telefon, radio, internet, dan sebagainya ditutup dan disekat oleh rakyat kerana bimbang rakyatnya bangkit.
Namun, dalam keadaan maklumat yang terhad itu sejuta malah lebih daripada itu, rakyat Mesir berhimpun di Tahrir menyatakan bantahan dan desakan kepada Hosni Mobarak untuk meletakkan jawatan.
Pembubaran kerajaan Mesir dan pengumuman penstrukturan semula negara sedikitpun membantu, malah tetap dan tidak berganjak sedikitpun. Walaupun berhadapan dengan ancaman bunuh oleh kerajaan Mesir yang memang sudah sedia terkenal menyembelih dan membunuh rakyatnya sesuka hati.
Kemarahan dan kebangkita rakyat ini sudah tidak dapat dielakkan dan hanya satu yang mereka inginkan, "perubahaan yang total!"
Peluang Untuk "Mengajar Amerika, Yahudi dan Sekutu".
Kebangkitan ini bukan sahaja dilihat sebagai ancaman besar kepada kerajaan tempatan malah inilah peluang terbaik untuk masyarakat dunia menjatuhkan dan menghancurkan Amerika Syarikat yang selama ini mengawal tengkuk pemimpin-pemimpin negara-negara tersebut.
Lihat sahaja Mesir, dan negara Arab lainnya, begitu bergantung kepada Amerika Syarikat sehingga harga minyak, yang mereka sebagai pengeluar utama pun, dikawal oleh Amerika Syarikat.
Mereka begitu takut kepada Amerika Syarikat sehingga menjalinkan hubungan ketenteraan kononnya untuk menghapuskan pengganas dan militan. Mesir sendiri menjalankan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat di buminya sendiri.
Natijah Kegagalan Urus Tadbir Yang Baik oleh Kerajaan
Inilah (kebangkitan) yang akan berlaku di mana-mana apabila sesebuah kerajaan mahupun pemimpin sesebuah institusi sudah hilang kawalan dan kelayakan untuk memimpin dan menguruskan rakyat serta pimpinannya.
Paling mudah, jika disebutkan di sini, berkaitan dengan urus tadbir yang baik (good governance), kerajaan atau mana-mana pemimpin perlu responsif kepada kehendak rakyat.
Responsif di sini, bermaksud kehendak dan pandangan rakyat didengari, seterusnya keputusan yang baik dilaksanakan dengan berkesan bagi mengawal dan membaik pulih keadaan. Bukan sahaja di dalam kepimpinan negara, hatta sekecil-kecil syarikat pun memerlukan kepada kaedah urus tadbir yang baik ini.
Misalnya syarikat sekecil sebuah keluarga yang dipimpin oleh suami. Tetap memerlukan kepada urustadbir yang baik. Iaitu responsif terhadap kehendak ahlinya, telus dalam membuat dan melaksanakan sesuatu keputusan, mendaulatkan undang-undang atau polisi keluarga yang bersifat sejagat dan sebagainya.
Suami sebagai ketua bertanggungjawab memastikan undang-undang dan polisi keluarga ini dipatuhi dan undang-undang tertinggi mestilah undang-undang yang mampu mengawal dan menguruskan perkembangan dan kemajuan keluarga dengan baik.
Jika dilihat dari sudut kepimpinan negara, perkara yang sama juga perlu berlaku. Pemimpin kerajaan perlu menetapkan polisi-polisi tambahan dari semasa ke semasa bergantung kepada perubahan yang berlaku ke atas dunia lebih-lebih lagi keadaan semasa di dalam negara.
Turun-naik harga minyak misalnya, memang akan memberikan kesan ke atas keadaan ekonomi dunia, apalagi kerajaan Malaysia yang mengamalkan sistem kapitalis.
Negara amat bergantung kepada dolar, sedangkan dolar sudah lama rosak dan hanya bergantung kepada talian hayat negara-negara Arab, itupun semakin nipis talinya dikikis.
Rakyat Berhak Didengari
Dalam Hak Asasi Manusia, menyatakan manusia itu berhak didengari dan diberikan perhatian. Berhak didengari sama sekali tidak bermaksud kehendak mereka perlu dipatuhi.
Kita sememangnya memerlukan had dan batasan supaya tiada yang melampau dan bertindak sesuka hati. Tetapi hak untuk didengari dan diberikan perhatian yang sewajarnya ini juga perlu diuruskan dengan baik oleh pemimpin.
Memberikan penjelasan dan penerangan yang telus, mematuhi lunas undang-undang yang didokong dan disokong bersama, selain melaksanakan keputusan dengan berkesan dapat memelihara negara supaya terurus dan ditadbir dengan baik.
Tiada yang sepatutnya selamat dari dikenakan tindakan undang-undang, bahkan undang-undang mestilah daulat, dibaca dan ditakrifkan oleh mereka yang benar-benar layak, tidak bias, dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan.
Apalagi di Malaysia, kita megamalkan doktrin pengasingan kuasa, antara tiga bidang kuasa yang utama iaitu, legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Saya berharap kerajaan Malaysia faham mengenai konsep asas ini, kerana inilah yang setakat ini mampu mengekang perasaan kecewa dan tertekan yang dihadapi oleh rakyat.
Sebilangan besar rakyat Malaysia, masih memberikan kepercayaan kepada pihak penguasa walaupun ada yang ditahan tanpa bicara. Masih memberikan kepercayaan kepada pihak mahkamah walaupun terbukti Mahkamah bersikap "double standard" dalam membicarakan kes-kes tertentu sebelum ini.
Masih memberikan ruang dan kepercayaan kepada sistem dan amalan demokrasi di Malaysia, sekalipun ruang untuk bersuara ditutup sepenuhnya oleh kerajaan apabila media arus perdana dikawal sepenuhnya oleh mereka.
Harapan masih ada!
Masih, sehingga saat ini, walaupun belum pasti apa yang akan berlaku esok, saya memberikan peluang dan ruang kepada kerajaan Malaysia untuk melaksanakan perubahan dengan segera.
Mereka bukan sahaja akan digulingkan, bahkan akan dikerjakan dengan teruk oleh rakyat sedar yang semakin membuak-buak rasa marah akibat tekanan yang bertalu-talu yang dikenakan oleh kerajaan.
Semoga harapan terhadap pembelaan, keamanan, dan keadilan ini dapat kita saksikan dengan jalan yang baik. Kita selesaikan dengan cara aman, supaya kita menjaga keberkatan yang dilimpahkan oleh Tuhan ke bumi Malaysia yang bertuah ini.
Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan